25 Januari 2015

Realiti Seorang Blogger

Assalamualaikum...

Menjadi seorang blogger bukannya satu perkara yang mudah. Mungkin bagi sesetengah orang, menjadi blogger hanya perlu pandai menulis dan juga pandai bermain kata. Ada juga yang beranggapan, menjadi seorang blogger tidak menjamin masa hadapan. Namun, adakah andaian itu benar?

Dalam kalangan blogger sendiri, ada yang mempunyai latar belakang dan profession yang berbeza, namun, semangat untuk menulis itu tetap ada yang terus memberi semangat dalam diri mereka untuk terus menjadi seorang penulis di laman sesawang ataupun lebih dikenali sebagai blogger.

Ada juga yang membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai seorang kakitangan kerajaan semata-mata untuk menjadi seorang blogger sepenuh masa. Ramai beranggapan bahawa keputusan yang diambil itu akan memberi kesan kepada keluarganya sendiri.

Corak penulisan yang santai dan pandai memberi ulasan terhadap sesuatu produk adalah elemen penting untuk menjadikan seseorang itu sebagai blogger yang hebat.

Di Malaysia, ramai blogger-blogger terkenal yang mempunyai ramai pengikut di blog mereka. Sebagai contoh adalah Abang Nara, Ben Ashaari, EmasPutih, Hanis Zalikha dan ramai lagi.

Blog pula boleh dibahagikan kepada beberapa jenis blog seperti blog khusus untuk hiburan, ulasan sesuatu produk, santai, melancong, dan juga fesyen. Kepelbagaian blog ini memberi peluang kepada para pembaca untuk memilih, apakah jenis blog yang mereka gemari supaya mereka sentiasa mendapat maklumat yang terkini daripada laman sesawang.

Sebagai seorang blogger, mereka juga berpeluang untuk mengembara ke serata dunia dan adakalanya, perjalanan mereka itu ditanggung oleh pihak penganjur.

Menjadi seorang blogger boleh menjana pendapatan yang agak lumayan sekiranya blogger itu aktif untuk sentiasa memastikan blognya sentiasa dikemaskini. Namun, bagaimanakah blog-blog ini boleh menjana pendapatan kepada blogger?

Kedatangan pengikut untuk membaca blog akan membuatkan para pengiklan berminat untuk mendapatkan ruang iklan didalam blog berkenaan. Dan dari sinilah akan wujudnya satu perniagaan dimana, para blogger akan menyewakan ruang kepada para pengiklan untuk satu tempoh masa ataupun ruang iklan yang ditawarkan.

Namun, ada juga para blogger boleh mengiklan produk secara percuma dan bayaran diterima daripada jumlah klik yang menekan iklan tersebut dan jumlah bayaran akan ditentukan oleh pengiklan. Sebagai contoh, untuk satu klik bernilai RM 0.20 dan blogger boleh menyemak dilaman web pengiklan tersebut.

Selain itu, para blogger boleh menjana wang dengan mengulas tentang sesuatu produk yang diminta oleh pihak pengeluar. Di sini blogger boleh menetapkan bayaran yang perlu dibayar oleh pihak pengeluar untuk ulasan produk atau perkhid

Malah, ada sesetengah blogger mempromosikan sesuatu produk mahupun tempat secara percuma kerana perkhidmatan yang ditawarkan itu adalah terbaik tanpa mengharapkan bayaran daripada pengeluar ataupun penjual.

Namun begitu, cabaran sebagai seorang blogger tidak boleh dinafikan. Dipandang rendah sebagai pekerjaan yang tidak menjamin masa hadapan adalah sesuatu yang biasa. Namun apa bila pekerjaan untuk mempromosikan sesuatu produk dan perkhidmatan itu telah selesai dilakukan, pengiklan tidak melangsaikan bayaran seperti yang telah dijanjikan.

Selain itu, ada juga pengiklan menawarkan harga yang murah untuk blogger bagi setiap iklan yang diiklankan di laman blog dengan alasan, mengiklan di blog tidak memberi kesan mendalam terhadap pengguna dan tidak memberi kesan kepada penjualan produk mereka.

Walaupun begitu, tidak semua pengiklan mahupun pengeluar mempunyai sikap sedemikian, malah, banyak syarikat pengeluar menggunakan khidmat blogger yang mempunyai pengikut yang ramai supaya mereka percaya, dengan perkembangan teknologi pada masa kini, pengguna lebih gemar mencari maklumat melalui aplikasi di gadget-gadjet mereka.

Meskipun bergelar blogger, mereka masih mendapat layanan-layanan sepertimana layanan yang diterima oleh wartawan apabila dijemput ke majlis-majlis korporat mahupun hiburan. Hal ini adalah kerana, meskipun sekadar menulis di atas talian, mereka tetap mempunyai pembaca setia sebagaimana pembaca untuk majalah dan surat khabar.

Bagaimana wartawan media cetak, blogger juga mempunyai peluang yang sama untuk menggunakan sesuatu produk, telefon bimbit misalnya, sebelum membuat ulasan untuk diberikan kepada pengguna.

Namun begitu, ada segelintir blogger tidak akan membuat sebarang ulasan sekiranya produk itu tidak memberi kesan kepada pengguna mahupun dirinya sendiri. Meskipun ditawar pada harga yang tinggi, untuk membuat ulasan tentang sesuatu produk itu, namun jika ianya tidak memadai untuk pengguna, mereka tidak akan membuat sebarang ulasan kerana ianya akan memberi kesan kepada blog mereka pada kemudian hari.

Oleh itu, meskipun dipandang rendah oleh masyarakat, kehidupan seorang blogger tidaklah mudah seperti yang disangkakan. Meskipun pekerjaan sebagai seorang blogger ini tidaklah jelas di mata masyarakat, namun impaknya kepada masyarakat tetap ada kerana, penyampaian maklumat kepada pembaca tetap menjadi keutamaan.

3 ulasan:

  1. Salam. Hee saya blogger picisan saja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam..sama la...baru lagi jd blogger...hehehe

      Padam
    2. Salam..sama la...baru lagi jd blogger...hehehe

      Padam