Assalamualaikum...
Bila disebut novel, terlintas dalam
kalangan masyarakat adalah, wanita. Hal ini adalah kerana, wanita itu gemar
membaca dan jiwanya lembut. Maka, novel adalah pilihan untuk wanita terutamanya
bagi anak gadis remaja.
Dengan lambakan novel-novel cinta di
pasaran dan kedai buku, pastinya rak-rak novel cinta akan dipenuhi oleh kaum
Hawa untuk memilih novel-novel yang mempunyai jalan cerita yang menarik.
Meskipun dengan kewujudan novel Fixi,
iaitu novel yang bersifat bebas dan animasi, namun, novel cinta, tetap menjadi
pilihan pembaca terutamanya wanita. Namun, bagaimana pula sebaliknya?
Adakah wujud pembaca novel cinta
terdiri daripada kaum Adam? Adakah kaum Adam yang meminati novel cinta ini
lelaki lembut? Atau adakah kaum yang terkenal sebagai sifat berani dan ganas
ini sebenarnya mat jiwang?
Seperti yang sedia maklum, lambakan
novel-novel cinta di pasaran adalah untuk memenuhi permintaan peminat-peminat
novel tanpa mengira jantina, bangsa dan agama. Malah, ada novelis ini membuat
sekuel kepada novel mereka seperti Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan, Biar YM
Berbicara, The Wedding Breaker dan sebagainya.
Dan, meskipun ramai yang beranggapan
bahawa novelis cinta ini kebanyakannya adalah wanita kerana mempunyai jiwa yang
lembut, namun, tanggapan itu dapat ditangkis dengan adanya novelis lelaki yang
popular iaitu, Ahadiat Akashah.
Persoalan yang boleh ditimbulkan
disini, adakah wujud golongan lelaki yang meminati novel cinta? Adakah mereka
mempunyai taman dalam hati?
Jika di kedai buku seperti MPH dan
Popular, pasti akan terlihat beberapa orang lelaki akan mengunjungi bahagian
novel cinta berbanding bahagian novel Fixi mahupun majalah yang bercirikan
maskulin.
Namun, golongan ini akan cuba untuk
‘mengecilkan’ diri supaya tidak dilihat oleh rakan-rakan mahupun masyarakat
keliling.
Ada golongan pembeli novel lelaki ini
sanggup menghabiskan masa untuk memilih novel yang benar-benar menarik untuk
dibaca. Baik lelaki mahupun wanita, mereka boleh menghabiskan masa selama dua
jam dengan berada di rak novel cinta untuk membaca synopsis novel sebelum
membuat keputusan untuk membeli.
Pandangan masyarakat bahawa lelaki
yang membaca novel cinta ini lebih kepada lelaki lembut ataupun lelaki jiwang
perlulah dibuang. Sikap lelaki yang suka membaca seharusnya perlu dipuji
walaupun membaca novel cinta.
Ada juga yang beranggapan bahawa ‘mat
novel’ ini lebih bersifat feminine dan mungkin juga ‘mat jiwang’. Hal ini
membuatkan golongan ini lebih suka memencilkan diri ataupun terpaksa
mengenepikan rasa minat untuk membaca novel meskipun minat mereka terhalang.
Kutukan daripada rakan sebaya
terutamanya membuatkan mereka terpaksa mengehadkan aktiviti pembacaan novel
mereka ataupun mereka akan membaca novel secara rahsia bagi mengelak dikutuk
oleh rakan sebaya.
Amat sukar untuk melihat golongan ‘mat
novel’ ini membeli novel secara terang-terangan. Jikalau ada, pasti mereka akan
ditemani oleh kaum Hawa supaya tembelang mereka membaca novel cinta tidak
pecah.
Kaum Adam yang membaca novel cinta ini
bukanlah lelaki lembut mahupun ‘mat jiwang’. Sebaliknya, mereka gemar membaca
novel kerana minat yang membaca dari dalam diri.
Selain itu, novel yang mempunyai jalan
cerita yang menarik akan menarik perhatian kepada pembaca sama ada lelaki
mahupun perempuan untuk mengetahui apa cerita yang berlaku. Kadang-kala,
sinopsis yang ditulis dibiarkan tergantung untuk menarik minat pembaca untuk
membeli novel supaya mereka tahu apa yang sebenarnya terjadi berjaya menarik
kaum Adam untuk membeli sebuah novel
Bermula dengan Lagenda Budak Setan 1,
adaptasi dari novel ke layar perak juga berjaya menarik minat kaum Adam untuk
membaca novel cinta. Kebanyakan yang membeli novel ini adalah untuk mengetahui
perbezaan antara novel dan filem ataupun membeli sambungan novel untuk mengetahui
apakah yang akan terjadi pada filem yang akan datang.
Adaptasi novel ke filem ini telah
memberi pengaruh yang kuat kepada ‘mat novel’ ini untuk membeli novel dan
membuatkan mereka semakin berani untuk membaca novel cinta di khalayak ramai.
Meskipun ada yang berpandangan sinis
dengan ‘mat novel’ ini, mereka masih meneruskan minat mereka untuk membaca
tanpa menghiraukan pandangan rakan sebaya terutamanya lelaki.
Ada juga dalam kalangan ‘mat novel’
ini tidak mempunyai sifat romantik ataupun ‘jiwang’ dalam jiwa mereka, namun,
kerana minat membaca, mereka terus membaca.
Malah sebaliknya, kaum Adam yang
kononnya bersifat ganas dan berlagak ‘macho’ inilah yang kadangkala di luar
jangkaan, iaitu bersifat ‘jiwang’ lebih daripada ‘mat novel’.
Seharusnya, minat untuk membaca novel
tidak seharusnya dipertikaikan walaupun pembacanya adalah lelaki. Sekiranya
perkara ini terus diperkatakan, pastinya, trend perjualan novel akan menurun
kerana si lelaki malu untuk membeli dan membaca kerana takut di ejek oleh
rakan-rakan.
Novel-novel cinta bukan sahaja boleh
dibaca oleh satu golongan sahaja, malah, boleh dibaca oleh semua, baik lelaki
mahupun wanita, remaja atau dewasa dan sebagainya. Jadikan amalan membaca ini
sebagai satu rutin walaupun sekadar membaca novel cinta.
Selamat membaca !!
0 Ulasan
Tinggalkan komen anda di sini...
Emoji